NEWS FROM MEDIA

BERNAMA • 19 September 2018 • Oleh Nabilah Saleh

bruton5

 

Oleh Nabilah Saleh

PETALING JAYA, 19 Sept : Malaysia digesa mewujudkan satu sistem pendidikan yang lebih baik dengan melakukan ‘penandaarasan’ terhadap sistem pendidikan negara lain, sebagai persediaan mendepani Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Menteri Pendidikan dan Kemahiran Ireland, Richard Bruton, berkata pendekatan itu adalah bersesuaian bagi membantu sistem pendidikan negara kerana beliau percaya masanya telah tiba untuk Malaysia berbuat demikian.

“Amat penting bagi kita untuk melakukan penandaarasan bukan hanya terhadap diri sendiri malah terhadap negara-negara lain. Ia bukan tentang apa yang anda peroleh hasil penandaarasan kerana anda juga akan belajar bagaimana orang lain mendepani masalah.

‘’Dari situ, ia menimbulkan persoalan bagaimana kita perlu melakukannya dengan lebih baik dan mengguna pakai elemen-elemen terbabit,” kata Bruton semasa ceramah bertajuk “Pendidikan Tinggi dan Industri 4.0: Kesan ke atas Ekonomi, Perniagaan dan Masyarakat” dalam Siri Kuliah Tokoh Terkemuka (EPELS) yang diadakan di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaysia di sini pada Rabu.

Ia merupakan beberapa siri kuliah terbuka kepada umum yang menyaksikan para duta, orang kenamaan dan cendekiawan tersohor berkongsi kepakaran serta pengalaman mereka untuk meningkatkan pengetahuan umum.

Mengulas lanjut, Bruton berkata adalah penting untuk turut memiliki cita-cita yang berani dan realistik bagi melakukan perubahan ke atas sistem pendidikan semasa, khususnya dalam menanam elemen-elemen yang diperlukan bagi Industri 4.0.

“Cita-cita itu boleh dizahirkan melalui satu cara pintar, yang boleh diukur namun mencabar. Mana-mana kementerian yang berhasrat melakukan perubahan perlu memiliki cita-cita berani dan realistik. Ini perlu kerana cabaran sebenar juga adalah untuk menyatukan rakyat.”

Menyentuh kesan positif yang dicetus oleh Industri 4.0, menteri Ireland itu berkata revolusi tersebut, yang menyaksikan peningkatan penggunaan robot dan teknologi, telah berjaya mencipta peluang pekerjaan yang amat besar.

Bagaimanapun, peluang-peluang pekerjaan itu memerlukan kemahiran tinggi serta keupayaan untuk menangani sistem pengurusan yang kini tidak termasuk dalam kurikulum pembelajaran.

“Statistik menunjukkan bahawa inti pati aspek pembelajaran dalam sistem pendidikan semasa dunia hanya mewakili satu peratus daripada pengetahuan yang diperlukan pada 2050.

“Justeru, perubahan drastik dalam sistem pendidikan adalah perlu bagi memenuhi permintaan dan keperluan pasaran serta industri-industri perkhidmatan,” kata Bruton yang kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia.

Sumber asal: BERNAMA