• Asia-Europe Institute (AEI)
  • pengarah_aei@um.edu.my
  • +603 7967 4645
logo
logo

Dr. Zulhasnan Rafique bersama Presiden Donald Trump.

TAHUN ini merupakan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang terjalin sejak 1957.

Sumbangan besar AS terhadap ekonomi negara tidak dapat dinafikan. Negara itu merupakan pelabur asing kedua terbesar dan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia.

Meskipun tindakan Presiden Donald Trump menarik keluar AS daripada Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) menjejaskan usaha Malaysia mendapat akses pasaran lebih baik ke AS, masih ada banyak ruang dan peluang yang boleh dilakukan bagi meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Menurut Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Dr.Zulhasn an Rafique, pendekatan menggunakan titik persamaan amat penting bagi meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan AS.

Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMI D, beliau turut mengulas pelbagai isu lain yang melibatkan hubungan antara kedua-dua negara serta perancangan bagi memperluaskan kerjasama Malaysia-AS dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi.

MINGGUAN: Setelah bertugas secara rasminya selama 100 hari sebagai Duta Besar Malaysia (bertaraf Menteri) ke AS bagaimana Tan Sri melihat kepentingan jawatan ini dalam geopolitik antarabangsa terutama melibatkan hubungan Malaysia-AS?

ZULHASNAN: Hubungan Malaysia-AS telah wujud sejak kemerdekaan negara pada 1957 lagi. Kini, AS adalah rakan dagangan ketiga terbesar dan pelabur asing kedua terbesar di Malaysia. Manakala Malaysia adalah rakan perdagangan ke-18 terbesar AS.

Sebagai sebuah kuasa besar, AS berdepan dengan pelbagai isu global yang perlu ditangani. Malaysia adalah salah satu daripada rakan strategik utama AS di ASEAN dan rantau Asia Pasifik, yang memainkan peranan yang aktif dan penting perihal isu-isu keselamatan, ekonomi dan dagangan, pelaburan serta sosial.

Oleh yang demikian, duta besar perlulah berupaya menyesuaikan diri dengan keadaan dan ahli-ahli politik, kerajaan, korporat, pelajar dan rakyat di AS supaya maklumat yang disampaikan menerusi sesi engagement adalah tepat, berkesan dan efektif.

Pada waktu yang sama, jika terdapat pandangan tertentu terhadap negara dan rantau ini yang negatif dalam kalangan pengamal politik, badan-badan bukan kerajaan serta rakyat AS, adalah menjadi tugas duta besar untuk memastikan kita dapat memperhalusi pandangan ini dan berusaha untuk memperbaiki dan menambah baiknya.

Bagaimana Tan Sri melihat hubungan Malaysia-AS era Donald Trump sebagai presiden.

ZULHASNAN: Malaysia sudah tentu berbeza daripada AS. Tambahan pula, Presiden Trump mempunyai pendekatannya yang tidak konvensional dalam usahanya untuk mengutamakan kepentingan rakyat AS atau apa yang dikatakannya America First atau AS didahulukan.

Namun demikian, hubungan dua hala Malaysia-AS telah dipertingkatkan kepada Comprehensive Partnership pada tahun 2014 yang meliputi bidang kerjasama utama seperti political engagements, ekonomi dan perdagangan, pendidikan, people-to-people, pertahanan dan keselamatan serta sains dan teknologi.

Saya melihat bahawa kita dapat menumpukan usaha mencari titik pertemuan atau common ground dalam bidang-bidang kerjasama yang boleh diketengahkan, untuk mengurangkan jurang perbezaan di antara sebuah negara yang sudah maju dengan negara yang sedang membangun.

Sebagai contoh, terdapat beberapa peluang kerjasama yang boleh terus diketengahkan seperti menangani isu-isu keselamatan, ekstremisme agama, Counter-Terrorism Activities dan deradicalization. Malah pelbagai kerjasama yang diwarisi daripada pentadbiran dahulu seperti Global Coalition Against Daesh masih diteruskan di bawah Pentadbiran Presiden Trump termasuk penubuhan pusat digital memerangi keganasan di Malaysia.

Beberapa program bina upaya antara Malaysia dengan AS dalam bidang antikeganasan juga sedang dijalankan melalui pelbagai agensi termasuklah dengan South East Asia Regional Center to Counter-Terrorism (SEARCCT).

Malaysia turut mempelopori usaha memupuk hubungan erat negara-negara ASEAN dengan pentadbiran Presiden Trump selaras dengan peranan Malaysia sebagai negara penyelaras dialog ASEAN-AS. Mesyuarat di peringkat pegawai kanan dan menteri luar sedang diatur ke arah itu.

Apakah dasar-dasar yang dilaksanakan Presiden Trump yang dilihat agak agresif dan berbeza berbanding presiden-presiden sebelumnya akan memberi kesan kepada Malaysia.

ZULHASNAN: Keperibadian Presiden Trump dalam arena korporat dan perniagaan adalah sebagai seorang yang menggunakan cara yang tersendiri untuk meraih keuntungan dan kepentingan untuk negaranya.

Beliau adalah seorang yang berterus terang dan menggunakan kaedah yang mungkin berbeza daripada pengamal politik lain, termasuklah presiden-presiden sebelumnya.

Antara dasar baru yang berkemungkinan memberikan impak kepada Malaysia adalah keputusan menarik keluar AS daripada TPPA dan mengetatkan perundangan pelaburan luar AS untuk memangkin pelaburan dalaman berikutan isu lebihan atau defisit dagangan dua negara.

Kelebihan

Langkah beliau untuk menarik AS keluar daripada TPPA secara langsung akan memberi kesan negatif terhadap usaha Malaysia untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih baik ke AS yang merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada 2016. Ini kerana sebarang kelebihan yang bakal dinikmati Malaysia di bawah TPPA kini sudah berubah.

Kegagalan pelaksanaan TPPA juga merupakan satu kehilangan peluang untuk syarikat-syarikat Malaysia bersaing dengan lebih kompetitif khususnya di rantau Asia Pasifik.

Mungkin Tan Sri ada pandangan untuk menjalin hubungan lebih mesra ekonomi dengan AS selepas AS menamatkan perjanjian TPPA.

ZULHASNAN: Bagi terus meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan AS, pendekatan menggunakan titik pertemuan amat penting kepada Malaysia. Kita perlu mengurangkan jurang perbezaan pendapat dan pandangan terhadap dagangan, pelaburan, ekonomi, politik dan sosial dengan AS.

Perbezaan ini adalah kerana AS sudah hampir 241 tahun merdeka dan membangun sepenuhnya sebagai sebuah negara maju berbanding Malaysia yang hanya baru menghampiri 60 tahun mengecapi kemerdekaan.

Begitu juga, di dalam kancah sosial, isu-isu tertentu dilihat dari pandangan berbeza antara Malaysia dan AS. Cara dan juga budaya kita amat berbeza di mana agama dan budaya masih memainkan peranan penting dalam kehidupan harian rakyat Malaysia berbanding AS yang lebih dipacu keperluan ekonomi dan berpandangan lebih terbuka.

Pada ketika ini keutamaan negara adalah untuk memuktamadkan rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu sebuah perjanjian perdagangan bebas di antara ASEAN, China, Korea Selatan, Jepun, India, Australia dan New Zealand. Rundingan RCEP yang dilancarkan pada 2012 diharap akan membuka lebih peluang kepada pembangunan dagangan dan ekonomi negara.

Bagaimana kesan Islamophobia di AS memberi kesan terhadap orang Islam di negara itu termasuk warga Malaysia.

ZULHASNAN: AS adalah sebuah negara yang begitu moden dan menghormati semua agama. Di dalam Pindaan Pertama Perlembagaan Persekutuan AS, Kongres telah menetapkan antara lain bahawa ia tidak akan mewujudkan sebarang perundangan untuk menentukan agama mahupun menghalang sesiapa sahaja untuk menganut dan mengamalkan mana-mana agama.

Jelas di sini kebebasan beragama telah termaktub di dalam Perlembagaan AS dan sewajarnya tidak akan berlaku apa-apa perundangan atau perkara yang akan menghalang kebebasan tersebut.

Sistem pentadbirannya yang merangkumi kerajaan, badan penggubalan perundangan dan kehakiman akan berkesan dalam menentukan hak-hak ini sentiasa terpelihara dan tiada mana-mana pihak akan dipencilkan mahupun dikenakan tindakan tertentu yang diluar batasan Perlembagaan AS.

Insiden-insiden terpencil yang melibatkan umat Islam amatlah mendukacitakan tetapi senario Islamophobia tidak kelihatan serta tiada tanda wujud kebimbangan atau kebencian terhadap Islam dalam kalangan majoriti rakyat AS.

Sungguhpun begitu Kedutaan Malaysia telah mengeluarkan siaran peringatan kepada semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam di AS untuk berhati-hati dan tidak menimbulkan sebarang isu yang boleh mengundang kontroversi serta masalah.

Pada ketika ini rakyat, pelawat serta lebih daripada 8,000 pelajar, peniaga, diaspora Malaysia dan penduduk AS dari Malaysia dalam keadaan amat baik.

Apakah Malaysia sebagai negara Islam yang pragmatik dan toleran boleh memain peranan dalam membawa perubahan dan pemahaman kepada kepimpinan Trump tentang Islam?

ZULHASNAN: Malaysia memang dilihat oleh AS sebagai sebuah negara Islam di rantau Asia yang mengamalkan kesederhanaan dan toleransi sehingga membolehkan rakyat daripda 14 etnik dan agama yang berbeza hidup serumpun dalam keadaan yang harmonis dan aman damai. Kerana inilah AS memandang negara kita sebagai rakan kongsi strategik yang penting dalam hubungan diplomasi dengan negara-negara Islam lain, serta usaha memerangi keganasan dan ekstremis agama.

Kerajaan Malaysia sejak dulu lagi telah mengetengahkan konsep kesederhanaan atau wassatiyyah sebagai pegangan Islam negara ini.

Kita juga telah memberi pandangan bahawa Islam bukanlah agama ekstremis ataupun menggalakkan keganasan. Ia dapat diperkasakan lagi menereusi kerjasama dan bantuan daripada badan-badan seperti Institut Wasatiyyah Malaysia, Global Movement of Moderate Foundation (GMMF) dan pihak-pihak tertentu.

Apa perancangan lain Tan Sri dalam menjayakan hubungan dua hala yang lebih baik antara dua negara bersempena ulang tahun ke-60 hubungan Malaysia-AS?

ZULHASNAN:Dengan nasihat dan mandat daripada kerajaan saya bercadang untuk mempertingkatkan dan memperluaskan kerjasama Malaysia-AS dari akar umbi iaitu hubungan people-to-people hingga kepimpinan tertinggi, dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial, pendidikan, politik, dan sebagainya. Lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-AS.

Ia akan dijayakan menerusi engagement yang lebih komprehensif kepada kerajaan AS, agensi kerajaan, pengamal politik, ahli perniagaan dan korporat, pelajar-pelajar, diaspora Malaysia di AS dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang mempunyai pengaruh tertentu dalam kerajaan AS.

Saya percaya dan yakin menerusi pertemuan, perbincangan secara diskusi idea terbuka antara kesemua pihak terbabit, hubungan dua hala Malaysia-AS akan dapat ditingkatkan.

Apakah rakyat Malaysia masih berpeluang ke AS tanpa visa seperti yang pernah dibincangkan oleh kepimpinan AS sebelum ini?

ZULHASNAN: Malaysia memang komited kepada usaha untuk menyertai Program Pengecualian Cukai dengan kerajaan AS. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri telah memberi komitmen untuk merealisasikan usaha ini.

Buat masa ini, walaupun rakyat Malaysia memerlukan visa untuk ke AS, kita mendapat kelebihan di dalam visa selama 10 tahun bagi kemasukan tanpa had ke negara tersebut.

Program Pengecualian Cukai bagi rakyat Malaysia ke AS adalah dalam peringkat akhir perundingan dan pematuhan Malaysia terhadap semua syarat yang ditetapkan pihak AS.

Pada masa ini, Malaysia sudah mematuhi kesemua syarat kecuali satu iaitu Malaysia perlu memastikan kadar penolakan permohonan visa kurang daripada tiga peratus. Malaysia kini berada di tahap 3.7 peratus.

Source: Utusan Melayu

Last Update: 03/11/2021