• Asia-Europe Institute (AEI)
  • pengarah_aei@um.edu.my
  • +603 7967 4645
logo
logo

Oleh Nabilah Salleh

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Ketika ASEAN bersiap sedia untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada akhir bulan ini, tiada siapa menduga blok serantau itu akan mengambil langkah berani dengan mengecualikan junta Myanmar daripada sidang kemuncak itu.

Semasa mesyuarat dalam talian menteri luar ASEAN mengenai persiapan sidang kemuncak pada Jumaat (15 Okt), mesyuarat sepakat Myanmar harus diberi ruang untuk menyusun semula negaranya dan memulihkan keadaan seperti biasa selaras dengan aspirasi rakyat.

Mesyuarat itu juga menolak permohonan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUJ), untuk menyertai sidang kemuncak yang akan diadaka pada 26-28 Okt, sebaliknya memutuskan untuk mengundang wakil bukan politik bagi mewakili Myanmar.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia bersetuju dengan keputusan itu sementara Singapura melalui kementerian luarnya menyatakan langkah untuk mengecualikan ketua junta adalah "sukar, tetapi diperlukan bagi menegakkan kredibiliti ASEAN.

Meskipun junta menyatakan "amat kecewa" dengan keputusan itu, langkah mengecualikan Myanmar disambut banyak pihak yang dianggap sebagai titik penting dalam usaha ASEAN untuk menangani krisis di Myanmar susulan rampasna kuasa 1 Februari oleh Jeneral Min Aung Hlaing.

Keputusan itu akibat kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara oleh Myanmar dan juga kebimbangan terhadap komitmen Myanmar, khususnya dalam mewujudkan dialog yang konstruktif dengan semua pihak berkaitan.

Duta Khas ASEAN ke Myanmar Erywan Mohd Yusof belum dapat bertemu atau mempunyai akses kepada pihak-pihak berkaitan seperti yang dinyatakan dalam Konsensus Lima Perkara itu kerana keengganan junta bekerjasama.

Pakar strategik Dr Rahul Mishra memberitahu Bernama, keputusan itu adalah langkah amat ditunggu-tunggu dan diharapkan.

Sejak rampasan kuasa di Myanmar, ASEAN berada di bawah tekanan untuk mengambil langkah konkrit bagi menyelesaikan krisis itu.

Pensyarah Kanan Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya (UM) itu berkata ASEAN telah banyak bersabar dalam berurusan dengan Myanmar dan berpegang pada dasar penglibatannya melalui dialog.

"Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar adalah langkah ke arah itu. Malah sekarang pun, pendekatan ASEAN adalah pendamaian. Meskipun Jeneral Myanmar Hlaing tidak diberi kesempatan untuk turut serta dalam sidang kemuncak itu, ruang berdialog masih terbuka melalui penyertaan pegawai kanan.

"Keputusan ASEAN menunjukkan pendirian yang jelas kepada junta Myanmar bahawa jika ia tidak mematuhi konsensus dan tidak membantu duta khas ASEAN, ia harus berdepan akibatnya. Langkah ini mungkin berjaya tetapi masih ada cabarannya," katanya ketika dihubungi menerusi Whatsapp.

Mengenai sama ada langkah terbaharu itu dapat mempercepat pelaksanaan konsensus, Rahul meragui junta Myanmar akan segera bersetuju untuk menerima semua tuntutan tersebut.

"Mereka masih keberatan dan mungkin membantah. Melaksanakan tuntutan konsensus bukanlah mudah kerana itu akan melemahkan kedudukan junta," tambahnya.

Bertepatan dengan pengumuman terbaharu, Rahul menyarankan agar ASEAN mengambil semua langkah yang diperlukan untuk segera menyelesaikan isu Myanmar.

Ini termasuk melibatkan rakan kongsi dialog blok serantau yang mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah itu.

“Tempoh lapan bulan lepas telah menunjukkan bahawa ASEAN sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah dengan cepat seperti rampasan kuasa tentera atau pelanggaran hak asasi manusia di setiap negara anggota. ASEAN juga tidak mempunyai mandat atau kemampuan untuk campur tangan dan merancang perubahan menerusi paksaan.

"Memandangkan Myanmar dan ketergantungan ekonomi dan perdagangan ASEAN pada rakan dialog ASEAN, ia mungkin membantu untuk melibatkan mereka - jiran Myanmar seperti China, Jepun, dan India dapat memainkan peranan lebih besar apabila melibatkan junta dan menghentikan pertempuran berterusan antara tentera dan pemberontak.

"Penglibatan Amerika Syarikat dan Rusia akan menjadikannya lebih inklusif," katanya

Beliau berkata platform Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) mampu menjadi platform untuk memperjuangkan usaha itu jika ASEAN membenarkan penglibatan tersebut.

Sejak kerajaan terpilih Aung San Suu Kyi digulingkan hampir 1,000 orang awam dibunuh akibat kekerasan oleh pasukan keselamatan.

-- BERNAMA

Artikel asal: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2014570

Last Update: 03/11/2021